Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Perjelaskan kekeliruan

Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia perlu memberikan penjelasan mengenai laporan-laporan yang bercanggah mengenai Faedah Kecederaan Tubuh dan Kematian Pihak Ketiga (TPBID) yang dicadangkan dan akan menggantikan Insurans Kenderaan Pihak Ketiga.

Di satu pihak, Bank Negara (yang berada di bawah Kementerian Kewangan) berkata, polisi TPBID belum lagi diputuskan dan telah menjemput orang ramai untuk memberikan maklum balas mengenainya. CAP sendiri telah mengemukakan ulasannya pada 14 Mei 2010.

Tetapi melalui laporan terbaru media telah memetik kata-kata seorang pegawai Kementerian bahawa TPBID akan diperkenalkan awal tahun depan. Skim itu akan diuruskan oleh Kerajaan dan industri insurans.

CAP membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan TPBID yang dicadangkan itu kerana tidak banyak berbeza daripada skim yang ada sekarang di mana pampasan kepada mangsa bergantung kepada pembuktian kesalahan. Lebih buruk lagi ia diwujudkan untuk membantu mengurangkan kerugian syarikat insurans bagi polisi kenderaan pihak ketiga. Gesaan sesetengah pihak agar dikekalkan sistem yang sedia ada jelas tidak mempedulikan ketidakadilan yang dihadapi oleh mangsa kemalangan dan lebih bersikap mementingkan diri. Kerajaan sepatutnya menepis gesaan tersebut.

Cadangan mengenai skim tanpa kesalahan telah bertahun-tahun dibuat. Pada tahun 1995, Allahyarham Tan Sri Dato’ Harun Hashim, mantan hakim Mahkamah Agung, mencadangkan pengenalan skim tanpa kesalahan untuk membuat tuntutan berhubung kecederaan tubuh dan kematian akibat kemalangan kenderaan. Pada Ogos 2007, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan Kertas Cadangan Awal yang mencadangkan Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) diperkenalkan. Sehingga ke hari ini masih belum kelihatan hasilnya.
 
CAP telah menyerahkan satu memorandum mengenai cadangan kami bagi NFL kepada bank Negara. Cadangan kami adalah berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:


• Pampasan yang cukup, cepat dan cekap untuk mangsa kemalangan kenderaan tanpa memerlukan litigasi atau penyelesaian pertikaian berhubung isu kesalahan.

• Pemulihan dan penjagaan sepanjang hayat untuk mangsa dengan kecederaan serius dan sokongan untuk tanggungan simati.

• Strategi pencegahan kemalangan yang berkesan.

• Kos pengurusan yang rendah supaya lebih banyak dana diperolehi untuk mangsa kemalangan jalan raya.

Skim NFL dirasakan boleh berjaya di sini jika kita melihat kejayaan skim PERKESO yang diperkenalkan pada tahun 1974 demi kebajikan pekerja.

Di bawah PERKESO pekerja yang mengalami kecederaan menerima pampasan tanpa perlu membuktikan kesalahan. Piagam PERKESO dengan jelas menyebut selepas menerima semua dokumen dan maklumat yang lengkap, bayaran faedah akan dibuat:-

• Dalam masa 7 hari bagi Hilang Upaya Sementara;

• Dalam masa 14 hari bagi Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Tanggungan, Pencen Ilat dan Pencen Penanggung;

• Dalam masa 3 hari bagi Faedah Pengkebumian.

Kos Pentadbiran PERKESO adalah rendah iaitu sekitar 9.15% bagi caruman pada 2006 dan 9.79% pada 2007. Oleh itu di bawah PERKESO, hampir 90% caruman yang diterima dibelanjakan untuk kebajikan pekerja.

Bandingkannya dengan sistem perlindungan kenderaan bermotor yang ada sekarang di mana 20% daripada premium yang diterima menjadi milik syarikat insurans sebagai perbelanjaan pengurusan dan 10% kepada agen sebagai komisen. Daripada baki 70%, 30% atau lebih akan dibayar kepada peguam menyebabkan hanya 40% atau kurang menjadi milik mangsa kemalangan.

PERKESO juga telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan bilangan kemalangan dan  hasilnya, jumlah kemalangan menurun sebanyak 3.4% pada 2007.

Di negeri Victoria, Australia skim NFL dilaksanakan dengan jayanya di mana terdapat penurunan yang drastik dalam kes kemalangan dan tuntutan pampasan. Jumlah kematian menurun daripada 776 kes pada 1987 kepada 337 pada 2006 dan 209 kes pada 2009. Dalam tempoh 10 tahun bilangan tuntutan pampasan menurun sebanyak 38,000 dengan  simpanan melebihi AUD$1 bilion.

Kejayaan PERKESO bermakna skim NFL boleh dilaksanakan. Disebabkan pengurusan yang cekap dan telus, aset PERKESO telah bertambah lebih RM15 bilion. CAP mengulangi gesaannya bahawa sudah tiba masanya dibuat perubahan pada skim tuntutan kemalangan di negara ini. Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan merupakan sistem yang sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.

Malah pada hakikatnya, Malaysia telah mengamalkan skim tanpa kesalahan sejak hampir 40 tahun lalu melalui skim PERKESO.  Sumber manusia dan bantuan teknikal tidak sepatutnya menimbulkan masalah.

Kenyataan Akhbar, 18 Mei 2010 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt