Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Insurans Kenderaan – Biar Kerajaan Ambil Alih

Pelbagai komen telah diberi berhubung skim Liabiliti Insurans Tanpa Kesalahan bagi kes kemalangan kenderaan bermotor (MVAs) yang dicadangkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), dan skim yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia. CAP ingin memberi penjelasan mengenai pendiriannya berhubung skim cadangan Bank Negara selain maklum balas kepada komen yang diberikan.

Hanya sedikit yang diketahui mengenai skim cadangan Bank Negara tetapi menerusi pelbagai laporan akhbar, ia kelihatan seperti:

1. Di bawah skim ini, bagi tuntutan dalam kes kemalangan kenderaan, syarikat insurans akan membayar tidak lebih RM100,000, termasuk rawatan di hospital, kesakitan dan kepayahan yang dilalui mangsa, dan hilang pendapatan atau pendapatan pada masa depan. Ini bermakna jika mangsa mengalami kecederaan yang serius, hilang upaya sepanjang hayat, memerlukan pemulihan atau hilang mata pencarian, beliau akan menerima tidak lebih daripada RM100,000. Jika mahu lebih banyak pampasan, beliau perlu menyaman pihak satu lagi di mahkamah.

2. Skim seumpamanya dicadangkan kerana syarikat insurans berkata premium tidak mencukupi untuk melindungi tuntutan pihak ketiga, dan mereka mengalami kerugian.

3. Sebuah syarikat persendirian atau konglomerat yang terdiri daripada syarikat-syarikat insurans akan mengendalikan skim itu. Modal awal sebanyak RM500 juta diperlukan, dan jumlah ini dicadangkan akan dinaikkan menerusi pembayaran premium lebih tinggi atau dibayar oleh kerajaan (melalui pembayar cukai).

4. Konsultasi termasuk kumpulan bekerja telah mula dijalankan dengan syarikat insurans di mana orang awam, persatuan pengguna dan pemegang saham lain dipinggirkan. Hanya sekarang Bank Negara bercadang untuk memaklumkannya kepada semua orang.

CAP berasa khuatir kerana BNM seolah-olah menyangka skim tersebut wajar disokong padahal pelaksanaannya akan membebankan berjuta pengguna jalan raya di negara ini. Ia sebagai maklum balas kepada lobi industri insurans.

Industri insurans mendakwa terdapat “defisit tajaan jamin”. Tetapi selagi melibatkan orang ramai, tidak ada bukti yang menyokong dakwaan ini. Jika benarlah dakwaan tersebut, maka jalan keluarnya bukanlah dengan melantik syarikat insurans, yang terbukti tidak mampu memberi manfaat kepada mangsa kemalangan dengan berkesan dan mencukupi, untuk mengendalikan skim seumpamanya.

Jika menginsurans tuntutan TPBID membebankan syarikat insurans, maka sudah jelaslah alasan kenapa mereka membuat cadangan seperti itu adalah semata-mata untuk mengurangkan kadar “kerugian” dan menambah keuntungan. Itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menukar polisi insurans.

Justeru itu, kerajaan bertanggungjawab untuk campur tangan dan membentuk sebuah sistem yang adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat dalam MVAs, iaitu dengan cepat, cukup, cekap dan tanpa kos yang besar. Kita perlu melihat kepada jalan keluar lain yang akan menjamin keadilan sosial kepada semua mangsa kemalangan jalan raya.

Syarikat insurans jelas menunjukkan sikap kurang bertanggungjawab apabila ia menyarankan pemilik kenderaan membayar premium yang lebih tinggi bagi skim yang akan meletakkan mereka dalam keadaan yang jauh lebih buruk daripada sebelumnya. Kebanyakan pemilik kenderaan tidak mampu untuk memfailkan kes di mahkamah, dan ramai yang tidak akan mampu membayar pampasan yang dituntut oleh mangsa yang tercedera, terutama mereka yang menganggur atau bukan bekerja sepenuh masa.

Perbincangan perlu diadakan di peringkat awal lagi dengan semua pihak terbabit sebelum skim seumpamanya dipertimbangkan, dan bukannya dengan pihak insurans.yang pasti mengaut paling banyak keuntungan.

CAP berpendapat sistem semasa tidak berjalan dengan baik, malah mangsa kemalangan tidak mendapat perjanjian yang adil. Pada masa ini di bawah sistem berasaskan kesalahan, tuntutan untuk mendapatkan pampasan bagi kecederaan diri atau kerugian lain yang berpunca daripada kemalangan kenderaan dibuat dengan mengemukakan tuntutan di mahkamah. Mahkamah pula menggunakan prinsip-prinsip kecuaian mengikut undang-undang umum dalam menentukan kesalahan dan pampasan. Pampasan dibayar oleh syarikat insurans diperolehi melalui dana daripada bayaran premium yang wajib dibayar di bawah polisi insurans pihak ketiga.

Dalam litigasi berasaskan kesalahan, bukan semua mangsa yang tercedera dalam kemalangan menerima pampasan. Tambahan pula, tidak kira sejauh mana tahap kecederaan atau kerugian yang dialami, pihak yang membuat tuntutan biasanya terpaksa menunggu lama dan harus mengeluarkan wang sendiri sebelum hak mereka diputuskan dan dibayar pampasan. Kelewatan hanya membuatkan ramai yang mengambil masa untuk pulih dan kembali bekerja.

Peguam pula mendapat habuan besar bagi tuntutan yang dibayar oleh syarikat insurans. CAP telah menerima pelbagai aduan mengenai peguam yang mengambil antara 25 – 30% daripada bayaran pampasan.

Selama bertahun-tahun CAP menggesa pembentukan skim insurans tanpa kesalahan bagi kes kemalangan kenderaan. Pada tahun lalu CAP telah menghantar satu memorandum mengenainya kepada Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara.

Di bawah skim berkenaan, sudah tidak penting lagi siapa yang bertanggungjawab terhadap kemalangan yang berlaku. Usaha-usaha lebih tertumpu ke arah membantu mangsa kemalangan, bukannya menuduh siapa yang bersalah. Semua mangsa yang tercedera akan mendapat pampasan, dengan beberapa pengecualian dalam kes pemilik kenderaan yang melanggar undang-undang, yang tercedera dalam lumba motosikal, mereka yang didapati bersalah kerana mabuk atau khayal di bawah pengaruh dadah, mereka yang menghadapi tuduhan jenayah semasa kemalangan dan sebagainya.

CAP mencadangkan agar skim yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Kemalangan Pengangkutan di Victoria, Australia, dijadikan model di Malaysia, dengan mengambil kira beberapa pengubahsuaian agar sepadan dengan keadaan tempatan.

Suruhanjaya Kemalangan Pengangkutan Victoria (TAC) bertanggungjawab mengendalikan kes-kes kemalangan jalan raya di bawah skim tanpa kesalahan, dan matlamatnya ialah mencegah kemalangan dan memulihkan mangsa yang tercedera dalam kemalangan. Selain memberikan rawatan dan faedah kepada mangsa yang tercedera, ia juga terbabit dalam usaha mempromosi keselamatan jalan raya di Victoria dan dalam mempertingkatkan sistem trauma.

TAC merupakan badan milik kerajaan negeri yang mengendalikan urusan pembayaran pampasan yang membabitkan kecederaan diri akibat terlibat dalam kemalangan. Ia merupakan perusahaan perniagaan statutori yang diperkenalkan oleh Akta Kemalangan Pengangkutan 1986. Menteri Kewangan bertanggungjawab terhadap TAC dan ia dipantau oleh Jabatan Perbendaharaan dan Kewangan. TAC bertindak sebagai pengendali insurans komersial dan dibiayai oleh premium dan pendapatan pelaburan yang dijana berasaskan simpanan.

Jika skim seumpamanya hendak diperkenalkan di Malaysia, satu undang-undang khusus perlu dibentuk untuk memantau skim berkenaan, dan sebuah agensi yang mengikut peraturan PERKESO perlu dibentuk untuk mentadbir dan menguruskan skim NFL. Alternatifnya, sebuah perbadanan kawalan kerajaan negeri boleh dibentuk untuk menguruskan keseluruhan skim tanpa kesalahan. Perbadanan adalah lebih baik daripada agensi kerajaan, memandangkan kemungkinan yang pertama itu dipenuhi birokrasi, yang kedua boleh bergerak bebas malah boleh beroperasi sebagai entiti yang menguntungkan dalam jangkapanjang. Pada masa yang sama, oleh kerana milik kerajaan sepenuhnya, ia dijangka akan lebih mementingkan keselamatan sosial dan matlamat penuh skim itu, bukannya mementingkan keuntungan semata-mata.

Sementara itu pihak yang membantah memberikan alasan bahawa skim tanpa kesalahan hanya menggalakkan kemalangan memandangkan pihak yang bersalah tidak akan dihukum (Insurans Kenderaan – pertimbang semula pendirian anda CAP). Namun dengan pelaksanaan NFL pada tahun 1987 di Victoria, terdapat 29% penurunan dalam jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya antara 2008-2009. Penurunan ini dicapai melalui kempen-kempen keselamatan jalan raya yang intensif. Kita juga boleh mengambil langkah yang sama tetapi usaha-usaha kita perlu lebih agresif dan mesej lebih tegas daripada sebelumnya.

Mereka yang membantah juga mengatakan NFL hanya bekerja dalam negeri dengan bantuan sosial. Di negeri seumpamanya kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap kebajikan warganya. Di Malaysia, kita juga telah melakukannya dengan bayaran pampasan untuk pekerja (PERKESO). Skim NFL telah diperkenalkan ke seluruh dunia dan bukan dalam negeri-negeri kebajikan saja. Setiap negara yang mengamalkan skim tanpa kesalahan mempunyai skim yang sesuai dengan persekitaran penduduknya. Kita hanya perlu memikirkan model yang manakah paling sesuai untuk penduduk negara ini.

Sesetengah pihak mendakwa premium akan meningkat di bawah sistem NFL. CAP telah mencadangkan agar dana bagi skim ini boleh diperolehi dari premium insurans pihak ketiga dan sebahagian daripada pembayaran insurans komprehensif. Memandangkan yuran guaman dan pentadbiran syarikat insurans boleh dijangka menurun kerana tidak lagi perlu membuktikan kesalahan, premium yang sedia ada mungkin mencukupi.

Kami bersetuju bahawa Bank Negara bukannya mencadangkan skim NFL. Semasa perbincangan pada tahun 2007, adalah cukup diketahui bahawa keseluruhan idea mengenai NFL yang diketengahkan oleh Peguam Negara pada ketika itu adalah disebabkan lobi industri insurans. Itulah sebabnya pada ketika itu perwakilan kerajaan sudah menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan membiayai skim tersebut.

Cadangan yang dikemukakan oleh kamar Peguam Negara pada ketika itu ialah syarikat insurans mentadbir skim tersebut. CAP pula ketika itu sambil menyuarakan pendiriannya untuk menyokong, sudah menjelaskan bahawa ia tidak akan menyokong skim yang diuruskan oleh syarikat insurans. Pada ketika itu kami berkata ia sepatutnya diuruskan oleh kerajaan.

Malahan di New Zealand dan beberapa tempat lain, syarikat insurans tidak terbabit. Nampaknya syarikat insurans telah menemukan satu lagi cadangan untuk melobi kerajaan, iaitu dengan asas sama bahawa terdapat “defisit tajaan jamin” (underwriting deficit) berhubung tuntutan TPBID. Menurut kami jika syarikat insurans merasakan ia mengalami kerugian, biarlah kerajaan mengambil alih pengurusannya.

Berhubung bantahan mengenai skim NFL

Dari sudut moral – terdapat pengecualian kepada bayaran pampasan dalam skim NFL – sila lihat rencana di atas. Kecuaian sepatutnya ditangani di bawah Akta Keselamatan Lalu Lintas. Tidak ada sesiapa pun yang akan terdorong untuk bersikap cuai atau kurang berhemah hanya kerana kecederaan yang dialami akan dilindungi. Dalam apa juga keadaan, meskipun di bawah sistem yang ada sekarang, kerosakan dan kerugian tidak dibayar oleh pemandu yang tidak berhemah tetapi oleh syarikat insurans. Itulah sebabnya NFL mesti merupakan pakej yang lengkap – disertai dengan usaha-usaha yang serius ke arah mengurangkan kemalangan jalan raya dan bukan sekadar satu slogan.

Dari sudut sosial – penipuan sudah pun berlaku dalam sistem semasa. Litigasi diperdaya dengan kelewatan, yang membuka ruang bagi penipuan dan rasuah. Sistem tanpa kesalahan bertujuan membentuk mekanisme tidak rasmi untuk menyelesaikan pertikaian dan memastikan pampasan dibayar dengan cepat dan cekap. Untuk menangani masalah penipuan ketika membuat tuntutan, satu mekanisme kawalan yang berkesan, termasuk sistem mengesan penipuan yang teratur, perlu diwujudkan untuk mengurangkan penipuan atau penyelewangan sistem tersebut. Prosedurnya perlu dipermudahkan supaya pihak-pihak yang terlibat boleh membuat tuntutan secara langsung tanpa membabitkan orang perantaraan atau agen.

Dari sudut ekonomi – kenapakah bayaran premium hendak dinaikkan? Dengan mengurangkan perbelanjaan pentadbiran dan pemansuhan bayaran kepada peguam, sudah pastilah kita mempunyai dana yang cukup untuk memberikan bantuan kepada semua pihak yang tercedera dalam kemalangan, oleh itu premium tidak perlu dinaikkan. Tambahan pula, dana juga boleh diperolehi daripada PERKESO.   

Justeru itu akan terdapat pertindihan membabitkan pekerja yang mengalami kecederaan dalam MVA ketika bekerja. CAP telah mencadangkan agar semua kes yang membabitkan kecederaan MVA berada di bawah skim NFL, termasuk yang dilindungi oleh PERKESO. Satu bahagian daripada caruman kepada PERKESO boleh diperuntukkan kepada skim NFL.

Secara ringkasnya CAP bersetuju reformasi utama sudah terlalu lama dinanti berhubung bagaimana kita membayar pampasan dalam kemalangan kenderaan. Namun begitu reformasi mesti memberi keutamaan kepada rakyat dan tidak sepatutnya, dalam apa juga keadaan, menguntungkan syarikat insurans semata-mata.
 
 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt