Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Aktivis ternama, Martin Khor Kok Peng meninggal dunia

GEORGETOWN, PULAU PINANG: Malaysia telah kehilangan salah seorang aktivis dan intelektual terbaiknya yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi penduduk yang tertindas dan kurang bernasib baik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Martin Khor merupakan Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Penasihat Third World Network, Ahli Majlis Sahabat Alam Malaysia dan bekas Pengarah Eksekutif South Centre (satu pertubuhan yang berpusat di Geneva yang mewakili kepentingan 53 negara membangun).

Beliau meninggal dunia pagi ini di Pulau Pinang, akibat kanser dan meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan.

Baliau akan diingati ke atas sumbangannya kepada komuniti miskin di Malaysia termasuk Kuala Juru, Thean Teik Estate, dan perjuangan menentang Asia Rare Earth dan penghentian projek mega di Bukit Bendera.

Martin adalah seorang intelektual yang berkomunikasi secara mudah untuk kefahaman orang ramai. Beliau bekerja tanpa mengenal penat lelah, berjuang untuk ekonomi dunia yang adil dan saksama. Beliau juga telah meninggalkan tugas sebagai penjawat awam di Kementerian Kewangan Singapura.

Martin telah memainkan peranan penting dalam pembangunan CAP bersama-sama dengan arwah S M Mohamed Idris. Di bawah pimpinan mereka, CAP menjadi salah satu kumpulan pengguna yang amat aktif yang menjadi model bagi persatuan pengguna di negara-negara membangun. Beliau merupakan mentor bagi ramai aktivis di seluruh dunia yang telah berpeluang untuk bekerja dengannya.

Komuniti global di Selatan akan mengingati beliau untuk kerja-kerja beliau dalam mewakili dan menyatakan pandangan dari Selatan berhubung dengan perdagangan tidak adil dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia. Beliau juga berada di barisan hadapan di peringkat global dalam rundingan perubahan iklim, mewakili pandangan negara-negara membangun dan negara-negara Selatan. Rintangan antibiotik, akses kepada ubat-ubatan dan penggunaan ubat-ubatan secara rasional adalah isu-isu terkini yang beliau perjuangkan.

Martin Khor adalah seorang ahli ekonomi yang terlatih di Cambridge University dan Universiti Sains Malaysia. Beliau adalah pengarang banyak buku dan artikel mengenai ekonomi, pembangunan mampan, globalisasi, perdagangan dan harta intelektual.

Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dasar Pembangunan, Pasukan Petugas Sekretariat Jeneral PBB mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan serta Naib Pengerusi Kumpulan Pakar mengenai Hak untuk Pembangunan dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB.

Kami di CAP, pengguna-pengguna di Malaysia dan di Selatan global telah kehilangan pemimpin dan aktivis karismatik Martin Khor dalam memperjuangkan hak kita semua.


Kenyataan Media, 1 April 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt