Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Malaysia Mungkin Hilang RM5 Bilion Daripada Perdagangan Dalam TPPA, Di Samping Kerosakan Dalam Bidang Lain: Dengan Demikian Kerajaan Perlu Menarik Diri Daripada Rundingan TPPA

Satu kertas kerja baru oleh pakar ekonomi kanan yang berkhidmat di sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan Malaysia tidak akan menikmati keuntungan bersih dalam bentuk imbangan perdagangan hasil daripada menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). Malah, Malaysia akan mengalami kemerosotan hampir RM5 bilion dalam imbangan perdagangan dengan 11 negara TPPA lain.

 

Penemuan ini adalah satu lagi alasan utama kenapa Malaysia tidak harus menyertai TPPA.

Daripada hujah yang dikemukakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Malaysia akan memperolehi keuntungan daripada TPPA dengan menjual lebih banyak barangan eksport ke 11 negara TPPA lain.

Walaupun perkara ini mungkin benar, penganalisis dan pengkritik termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhujah bahawa adalah merbahaya untuk menyertai TPPA disebabkan oleh impak ekonomi dan sosial kepada negara dan penduduk kita disebabkan oleh aspek lain TPPA.

Ini termasuklah bab harta intelektual, pelaburan, pemerolehan kerajaan, persaingan dan perusahaan milik negara dalam TPPA.

Bab-bab ini akan mengakibatkan Malaysia terpaksa mengubah kebanyakan daripada undang-undang dan dasar kita, yang akan menjejaskan kepentingan awam termasuk dalam bidang kesihatan, alam sekitar, isu pembahagian dan ekonomi politik.

Walaupun negara mungkin menikmati keuntungan yang besar dalam perdagangan, ia tidak bermanfaat untuk mengorbankan kebebasan dan ruang untuk menggubal dasar kita sendiri, dan tidak bermanfaat untuk mengalami begitu banyak kemusnahan kepada ekonomi dan ikatan sosial kita.

Walau bagaimanapun, kajian baru itu menunjukkan bahawa Malaysia tidak akan memperolehi keuntungan daripada perdagangan jika menandatangani TPPA. Malah, Malaysia akan kehilangan sekurang-kurangnya RM4.77 bilion dalam bentuk perdagangan memandangkan import kita akan meningkat lebih daripada eksport kita.

Menurut kerta kerja itu lagi, jika Malaysia menyertai TPPA, eksportnya akan meningkat ke negara TPPA lain tetapi import daripada mereka akan meningkat dengan lebih banyak dan dengan itu negara akan mengalami kerugian bersih dalam imbangan perdagangannya. Imbangan perdagangan adalah berbeza antara nilai eksport dan import barangan.

Pada 2013, Malaysia mengeksport AS$93.7 bilion barangan ke 11 negara TPPA lain dan ia mengimport AS$73.9 bilion barangan. Dengan itu Malaysia menikmati lebihan AS$19.8 bilion dalam imbangan perdagangan dengan 11 negara itu.

Kertas kerja itu juga menunjukkan bahawa selepas TPPA dilaksanakan, eksport Malaysia ke 11 negara itu akan meningkat AS$1.5 bilion (daripada AS$93.7 bilion kepada AS$95.2 bilion). Tetapi importnya akan meningkat lebih daripada itu kepada AS$2.9 bilion (daripada AS$73.9 bilion kepada AS$76.8 bilion).

Oleh itu, imbangan perdagangan bagi Malaysia dengan 11 negara perkongsian dalam TPPA akan bertambah buruk iaitu AS$1.465 bilion (atau RM4.79 bilion). Lebihan perdagangan akan jatuh daripada AS$19.84 bilion kepada AS$18.37 bilion.

Maksudnya ialah Malaysia tidak akan memperolehi keuntungan dalam bentuk bersih daripada peningkatan perdagangan hasil daripada TPPA. Memandangkan import akan meningkat dengan lebih cepat berbanding eksport, Malaysia akan mengalami kerugian bersih dalam imbangan perdagangan. Kerugiannya amat ketara, iaitu AS$1.465 bilion atau RM4.79 bilion (kadar pertukaran pada 17 Oktober ialah AS$1 = RM3.27).

Ini akan memburukkan lagi imbangan perdagangan Malaysia berbanding rumusan yang dibuat oleh kertas kerja itu. Ini kerana kertas kerja itu mengandaikan bahawa Malaysia akan mampu untuk mengeksport lebih banyak tekstil dan pakaian ke Amerika Syarikat (AS), pada kadar tarif sifar dan tanpa sebarang halangan lain.

Pada hakikat sebenarnya, AS mengenakan “yarn foward rule” di mana negara TPPA seperti Malaysia hanya boleh menggunakan benang dari negara TPPA lain apabila menghasilkan tekstil dan bahan pakaian. Oleh itu, kos pengeluaran sesetengah tekstil dan pakaian Malaysia akan menjadi lebih mahal kerana ia tidak boleh menggunakan benang daripada negara yang lebih rendah kosnya seperti China.

Oleh itu, anggaran peningkatan dalam eksport tekstil dan bahan pakaian Malaysia ke AS ialah kira-kira RM490 juta (AS$150 juta) mungkin membesarkan keuntungan untuk Malaysia. Jika peningkatan eksport tekstil kurang daripada RM490 juta ini, maka kerugian dalam imbangan perdagangan untuk Malaysia akan bertambah lebih daripada RM4.79 bilion. Kerugiannya boleh menjadi lebih daripada RM5 bilion.

Kertas kerja baru bertajuk, “Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA): Implications for Malaysia’s Domestic Value Added Trade”, ditulis oleh Dr Rashmi Banga, pakar ekonomi kanan yang berkhidmat di United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD). Ia diterbitkan oleh Centre for WTO Studies sebagai Kertas Kerja.

Dalam menganggarkan kesan TPPA ke atas perdagangan Malaysia dalam barangan, kertas kerja itu mengandaikan bahawa TPPA akan menghasilkan duti import sifar dalam produk daripada 12 negara TPPA. (Ini adalah andaian munasabah memandangkan matlamat negara TPPA ialah untuk menghapuskan tarif ke atas semua atau hampir semua produk).

Kertas kerja ini boleh dimuat turun daripada laman sesawang: http://wtocentre.iift.ac.in/workingpaper/TPP%20PAPER.pdf

BEBERAPA PENEMUAN MENARIK LAIN DARIPADA KERTAS KERJA

Kertas kerja itu juga mempunyai penemuan menarik lain. Penemuan ini dan beberapa implikasi daripada penemuan ini adalah seperti berikut:

> Kerana TPPA, banyak syarikat dan industri domestik akan berdepan dengan persaingan yang sengit daripada import. Oleh itu terdapat bahaya bahawa bahagian pasaran dan jualan syarikat dan industri tempatan akan merosot, dan akan terdapat kehilangan pekerjaan bagi pekerja Malaysia.

> Kertas kerja itu juga menunjukkan bahawa import akan meningkat lebih daripada AS$100 juta (atau RM327 juta) setahun dalam beberapa produk termasuk kenderaan, besi dan keluli, plastik, dandang, produk getah dan tembakau. Untuk produk ini, 36%-85% daripada import ini akan menjadi import bersih baharu, bukan hanya perubahan sumber import daripada negara bukan TPPA kepada negara TPPA.

Contoh import yang lebih tinggi disebabkan oleh TPPA adalah peningkatan dalam import kereta dan trak dari Jepun iaitu AS$534 juta (atau RM1.75 bilion). Ini mungkin mempunyai kesan sampingan ke atas jualan kenderaan yang dihasilkan di Malaysia.

> Sebahagian besar daripada peningkatan dalam eksport Malaysia akan ke Vietnam. Bagaimanapun, walaupun Malaysia tidak menyertai TPPA, ia akan menikmati peningkatan dalam eksport ke Vietnam apabila perjanjian perdagangan bebas ASEAN dilaksanakan sepenuhnya. Menurut kertas kerja itu lagi, 57% peningkatan eksport Malaysia hasil daripada TPPA ke Vietnam (AS$843 juta daripada jumlah AS$1,486 juta). Ini menunjukkan bahawa kebanyakan peningkatan eksport dalam mana-mana keadaan akan berlaku walaupun Malaysia tidak menyertai TPPA. Oleh itu, Malaysia boleh menikmati keuntungan utama yang dihasilkan daripada TPPA tanpa mengalami kesan sampingan TPPA, jika tidak menyertai TPPA.

> Kerana TPPA, imbangan perdagangan Malaysia dengan AS mungkin akan merosot sekurang-kurangnya RM1 bilion. Eksport Malaysia ke AS akan meningkat kepada hanya AS$378 juta tetapi import dari AS akan meningkat kepada AS$679 juta. Oleh itu dari segi imbangan perdagangan akan terdapat kehilangan AS$301 juta (RM984 juta). Pada hakikatnya, keuntungan untuk eksport bagi Malaysia akan berkurangan disebabkan oleh “yarn forward rule” yang akan mengurangkan peningkatan dalam eksport tekstil Malaysia kerana peraturan itu akan meningkatkan kos pengeluaran. Oleh itu lebihan perdagangan yang dinikmati oleh Malaysia dengan AS mungkin merosot sehingga lebih daripada RM1 bilion kerana TPPA.

> Walaupun pendapatan kasar eksport Malaysia akan meningkat kepada AS$1.5 bilion, pada hakikatnya tidak terdapat keuntungan dalam perolehan bersih atau nilai tambah. Ini kerana TPPA juga akan meningkatkan import komponen yang digunakan sebagai input ke dalam eksport dan import ini akan menggantikan beberapa input hasil tempatan. Dari segi “nilai tambah” (apa yang dihasilkan dan diperolehi di Malaysia), TPPA akan menghasilkan lebih kurang dalam nilai tambah daripada pendapatan eksport Malaysia. Kehilangan dalam nilai tambah eksport Malaysia ke negara TPPA boleh mencapai sehingga AS$17.6 bilion, demikian menurut kertas kerja itu lagi. Nilai tambah dari eksport adalah lebih penting kepada ekonomi, berbanding eksport kasar, memandangkan ia merupakan pengukuran pendapatan yang lebih baik (dan juga pekerjaan tempatan) negara.

Kertas kerja itu kelihatan bercanggah dengan hasil daripada kajian awal yang diterbitkan oleh Peterson Institute yang meramalkan bahawa Malaysia akan menikmati keuntungan besar dengan menyertai TPPA. Salah satu alasan bagi hasil yang berbeza daripada dua kertas kerja ini ialah kajian Peterson Institute adalah berdasarkan andaian yang berbeza.

Kajian sebelumnya adalah berdasarkan anggaran model Computable General Equilibrium (CGE). Kertas kerja oleh Dr Rashmi Banga memberikan kritikan terhadap andaian model CGE ini yang melebih-lebihkan keuntungan disebabkan oleh andaian yang tidak realistik, termasuk terdapat pekerjaan penuh yang dikekalkan (dan dengan itu tiada kesan TPPA ke atas pekerjaan) dan terdapat imbangan perdagangan yang berterusan sebelum dan selepas perjanjian perdagangan. Oleh itu model direka bentuk dalam cara bahawa liberalisasi hasil daripada FTA akan selalu membawa kepada keuntungan keseluruhannya.

RUMUSAN

Kertas kerja baharu itu juga mempunyai beberapa rumusan yang amat penting. Salah satu daripadanya ialah Malaysia tidak akan menikmati keuntungan bersih tetapi akan mengalami kerugian bersih dalam perdagangan barangan hasil daripada menyertai TPPA.

Ini adalah hasil yang amat membimbangkan dengan implikasi utama.

Adalah jelas bahawa Malaysia akan mengalami kerugian yang amat ketara dalam bidang lain TPPA, termasuk harta intelektual, pelaburan, pemerolehan kerajaan, syarikat milik negara dan pengharaman atau sekatan ke atas cukai eksport.

Adalah menjadi andaian bahawa semua kerugian dan kerosakan kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia dan kepada sistem ekonomi politik kita mungkin bermanfaat disebabkan andaian bahawa Malaysia akan mendapat manfaat besar daripada perdagangan yang berkembang.

Bagaimanapun, jika terdapat kerugian bersih kepada imbangan perdagangan negara kerana TPPA, maka tiada rasional untuk Malaysia menyertai TPPA.

Berdasarkan kepada maklumat terbaharu itu, CAP menggesa Kerajaan untuk tidak menyertai TPPA dan malah keluar daripada rundingan itu. Tiada alasan untuk terus menggunakan sumber negara yang terhad dalam mengambil bahagian dalam rundingan yang amat mahal dan membawa risiko tinggi kepada negara yang menandatangani perjanjian yang amat menjejaskan kepentingan negara.

S. M. Mohamed Idris
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang


Surat Kepada Pengarang, 28 Oktober 2014





NOTA KERTAS KERJA

Kertas kerja, “Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA): Implications for Malaysia’s Domestic Value Added Trade”, diterbitkan oleh Centre for WTO Studies sebagai Kertas Kerja. Ia boleh dimuat turun daripada laman sesawang: http://wtocentre.iift.ac.in/workingpaper/TPP%20PAPER.pdf


NOTA PENGARANG

Rashmi Banga adalah pakar Ekonomi Kanan di UNCTAD (Unit Kerjasama Ekonomi and Integrasi dalam kalangan negara membangun), Geneva. Beliau adalah bekas Profesor Ekonomi di Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Jawaharlal Nehru, India dan mengajar di Universiti Delhi selama 15 tahun. Beliau merupakan Pakar Ekonomi Kanan di DFID yang dibiayai UNCTAD – Projek India bagi membantu Kementerian Perdagangan dan Industri India dalam rundingan perdagangan. Beliau menerima ijazah kedoktorannya daripada Sekolah Ekonomi Delhi, pengkhususan dalam ekonomi, ekonomi antarabangsa dan econometrics. Beliau telah menerbitkan banyak tulisan dalam jurnal antarabangsa mengenai perdagangan dan isu berkaitan FDI dan mengarang beberapa buah buku termasuk antara lain dengan Routledge dan Oxford University Press. Bidang kajian semasanya ialah rantaian nilai serantau dan global. Beliau juga merupakan koordinator dan ketua penyelidik dalam projek UNCTAD mengenai rantaian nilai serantau. Beliau dianugerahkan International Economic Development Research Award (IEDRA) 2005 oleh EXIM Bank of India dan menerima dua Pingat Emas bagi penyelidikannya terhadap globalisasi dan pembangunan daripada Global Development Network (Bank Dunia).

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt