Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Pelaburan Langsung Luar Negara Malaysia dalam Industri Kelapa Sawit:

SAM menggesa kesan negatif dan amalan tidak beretika diberi perhatian
 
Sahabat Alam Malaysia menggesa Kerajaan Malaysia untuk menangani kesan-kesan negatif dan amalan tidak beretika pelaburan langsung di luar negara (OFDI) sejak kebelakangan ini.
 
Walaupun aliran keluar pelaburan Malaysia di luar negara lebih daripada aliran masuk pelaburan ke negara ini, kebimbangan yang serius telah timbul berhubung dengan kesan-kesan negatif industri minyak sawit khususnya.

Pada suku pertama tahun 2012, jumlah aliran keluar pelaburan luar negara berjumlah RM16.91 bilion, lebih daripada dua kali ganda aliran masuk iaitu RM7.48 bilion. Industri minyak sawit Malaysia mencapai kedudukan yang sederhana dari segi jumlah nilai OFDI. Walau bagaimanapun, kesan buruk daripada industri ini dilihat lebih penting berbanding dengan mana-mana sektor lain yang melibatkan pelaburan daripada syarikat-syarikat dari Malaysia. Ini adalah kerana pembangunan estet perladangan kelapa sawit ini berkait rapat dengan kawasan hutan tropika, tanah dan tanah gambut masyarakat tempatan di luar negara.  
 
Sejak kebelakangan ini, badan bukan kerajaan dan jawatankuasa kajian semula kerajaan di negara-negara yang terlibat telah mengenengahkan isu-isu serius berkaitan undang-undang, alam sekitar dan ketidakadilan sosial yang melibatkan pelaburan luar negara Malaysia dalam industri minyak sawit.
 
Sahabat Alam Malaysia telah memberi tanggujawab kepada Aidenvironment untuk menjalankan kajian menilai skala FDI luar negara Malaysia di ladang-ladang tanah kelapa sawit. Kajin ini juga adalah untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengapa pihak-pihak berkepentingan di peringkat global dan tempatan mempersoalkan reputasi baik industri minyak sawit ini.
 
Kajian ini telah mengenal pasti 50 syarikat Malaysia di luar negara yang telah mengambil alih lebih daripada 200 syarikat perladangan kelapa sawit dengan tanah seluas 3.5 juta hektar. Penerima utama FDI Malaysia dalam industri kelapa sawit ialah Indonesia (52%), diikuti oleh Papua New Guinea (PNG) (31%) dan beberapa negara yang sedang maju yang lain yang mewakili baki (17%) lagi.   
 
Fokus utama laporan ini adalah kebimbangan terhadap isu kemampanan pelaburan langsung asing luar negara Malaysia. Kajian kes yang telah dijalankan menunjukan sebahagian daripada pelabur-pelabur industri minyak sawit Malaysia di luar negara seringkali terlibat dengan isu-isu berkaitan undang-undang dan amalan tidak beretika termasuk:
 
• Pencerobohan ke atas tanah hutan yang dilindungi dan dan lain-lain bentuk pembalakan haram;
• Pembukaan tanah dan pembangunan ladang tanpa Penilaian Kesan Alam Sekitar yang diluluskan atau permit lain yang diperlukan, dan mengelirukan pihak berkuasa mengenai isu ini.
• Meneruskan tuntutan undang-undang dan menduduki tanah hak adat tanpa pemberitahuan awal, bebas dan telus kepada masyarakat orang asal;
• Memberikan ganjaran kepada penduduk tempatan dan pekerja ladang untuk memburu spesies yang dilindungi, seperti orang utan.
 
Pada 20 Mei 2014, Mahkamah Tinggi Papua New Guinea telah mengisytiharkan dua pajakan pembangunan tanah yang didakwa milik sebuah syarikat yang berpangkalan di Malaysia, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) di Teluk Collingwood PNG batal dan tidak sah. Mahkamah telah mengarahkan pembatalan surat surat hak milik ke atas pajakan tanah ini.[1] Kes ini hanyalah salah satu daripada banyak kes lain di PNG, Indonesia dan Liberia yang melibatkan syarikat yang berpangkalan di Malaysia dan masyarakat tempatan negara terbabit.
 
Penyelewengan seperti ini seringkali menimbulkan konflik antara pelabur dari negara ini dengan masyarakat tempatan di Negara-negara tersebut. Hasil kajian ini juga mendapati ketua-ketua negara Indonesia, PNG, Liberia dan Congo (Br) telah mengisytiharkan penangguhan/moratorium pelaburan untuk mengawal pelaburan langsung asing dari luar negara bagi sektor perhutanan dan / atau pembangunan pertanian di Negara masing-masing.   
 
Pada dasarnya, faktor ini tidak memberikan prospek yang baik bagi nama baik dan imej Malaysia yang mahu menjadi pemain global dalam industri minyak kelapa sawit.
 
SAM menggesa kerajaan untuk meneliti laporan ini dan menyedari kesan negatif pelaburan di luar negara kepada masyarakat setempat dan alam sekitar.
 
Negara jiran, Singapura boleh dijadikan contoh yang baik kerana negara tersebut telah mencadangkan sebuah undang-undang baru yang unik di mana mana-mana rakyat atau perniagaan yang berasal daripada negara itu yang terlibat dengan punca masalah jerebu yang melanda boleh diambil tindakan undang-undang.  
 
SAM juga menggesa agar peraturan yang ketat perlu dirangka oleh kerajaan untuk syarikat-syarikat Malaysia yang melabur di luar negara ini termasuk, menghormati kedaulatan undang-undang di negara-negara yang bakal mereka beroperasi, tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan prinsip dan hak asasi manusia sejagat dan menghentikan kemusnahan alam sekitar. Syarikat-syarikat yang melanggar peraturan ini pula perlulah diambil tindakan yang tegas agar tiada pihak lain yang akan mengulanginya.      

Kenyataan Akhbar  - 20 June 2014
 
Nota:
1. Lapuran penuh boleh dimuat turun daripada www.foe-malaysia.org dan http://www.aidenvironment.org/publications/
2. Anda juga boleh menghubungi Eric Wakker daripada Aidenvironment di +6 012 366 1 200 sekiranya anda mempunyai pertanyaan lain.
[1] http://www.nst.com.my/node/3936; http://www.corpwatch.org/article.php?id=15957; Contested KLK Palm Oil Leases Declared Illegal by Papua New Guinea Court | Rainforest Action Network http://ran.org/contested-klk-palm-oil-leases-declared-illegal-papua-new-guinea-court#ixzz34m5m65ZQ

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt