Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Jangan musnahkan hutan bakau

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri dan Jabatan Hutan menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang yang tegas ke atas pihak yang terlibat dengan kegiatan memusnahkan hutan paya bakau di Kuala Jalan Bharu Balik Pulau di sini dengan segera.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati pihak terbabit secara rakus memusnahkan pokok-pokok bakau di tempat ini menyebabkan alam sekitar di kawasan berkenaan teruk terjejas termasuk hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan tempatan.

Di samping pokok-pokok bakau yang menjadi mangsa pengusaha projek ternakan udang di sini tumbang menyembah bumi, CAP juga melihat terdapat kesan pokok-pokok tersebut mati kemungkinan diracun terlebih dulu sebelum projek berkenaan dilaksanakan.

CAP kesal walau kegiatan tersebut berlarutan sejak 10 tahun yang lalu dan mencetuskan masalah pencemaran laut dan sungai berpunca dari sisa buangan kolam ternakan ternakan udang di sini serta mengancam kehidupan nelayan pantai namun tidak ada perhatian serius yang diberikan oleh pihak berkenaan.

Akibatnya hidupan laut seperti ikan, udang, ketam dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama mereka telah berkurangan menyebabkan pendapatan nelayan terbabit merosot lebih 50% setiap kali turun ke laut. Nelayan-nelayan yang terlibat mengadu kepada CAP bahawa mereka mengalami gatal-gatal kulit bila terkena air yang tercemar itu.

CAP turut menggesa Pejabat Tanah Daerah Barat Daya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat secara menyeluruh dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini.

CAP meminta kerajaan negeri Pulau Pinang menghentikan segera pengeluaran permit  bagi pelaksanaan projek ternakan udang di negeri ini kerana projek tersebut memusnahkan hutan bakau dan mengancam alam sekitar dengan serius.

CAP percaya jika perkara ini tidak ditangani dengan tegas dan berkesan tempat pembiakan hidupan laut akan terancam dan sumber perikanan di perairan Pulau Pinang akan mengalami kepupusan. Lebih 4,000 nelayan yang bergantong hidup kepada hasil laut akan terjejas mata pencarian jika masalah ini dibiarkan berterusan.

Kenyataan Media - 19 Mac 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt